Assalamualaikum W.B.T.
Suami dalam perjalanan untuk menunaikan solat Jumaat, dan saya di sini. Memperbaiki dan memperkemaskan skill menulis yang sudah tumpul bak pisau yang hanya mampu memotong agar-agar. Alhamdulillah, Ummi saya mahu menempatkan saya dalam program menulis cuti ini. Dalam kalangan penulis hebat pula. Yeah!
Untuk sampai ke tahap Tuan Ramlee Awang Murshid, saya kira masih lambat lagi. Ya, RAM sangat bijak menyusun kata. Buku-buku beliau tidak pernah mendukacitakan. Saya? Boleh jadi peribahasa baru, bak saya dan RAM. Ingin menerangkan perbezaan darjat yang maha ketara.
Tadi, baru saya urut-urut perut suami. Mengadu sakit perut yang bersangatan. Muka comel yang mengaduh itu amat mencuakkan saya. Saya yang sedang seronok melayari internet, terus berhenti. Beliau cuba menyalahkan ayam masak merah yang pedas semalam. Saya kira appendixnya ada "iltihaab" atau bahasa Inggerisnya inflammation. Terus saya mencari McBurney's Point dan menekan halus.
Saya juga mengalami masalah yang sama. Tidur dalam keadaan sakit perut sehingga ke pagi. Namun, tidak saya salahkan ayam masak merah tersebut melainkan salah saya sendiri sebab makan hampir 3 pinggan dishes. Amboi! Mana tidak perut itu memberi signal.
Semalam, saya antara orang yang pertama mengambil lauk berbuka puasa. Dengan rakusnya kerana melihat ayam masak merah yang menggiurkan, saya meminta kuah lebih.
"Jangan ambil banyak sangat. Kuah ayam itu pedas."
Suapan pertama, receptor lidah saya cepat memberi arahan. Dan sehingga suapan-suapan yang lain, pain receptor mula bertindak. Saya rasakan hypothalamus saya sudah menggelegak. Walaupun saya pencinta pedas tegar, tetapi ini termasuk dalam kategori berlebihan. Nasi sudah tidak disentuh lagi, kecuali sedikit, kerana banyak bahagian nasi telah dibaham oleh kuah. Saya cubit ayam sedikit-sedikit. Berusaha untuk tidak membazir.
Kini saya faham perasaan sahabat saya, Fadhilah, apabila mencicip makanan pedas. Oh, sejak bila ayat saya menjadi semakin sopan. Dia cepat berhenti makan dan jika sudah tidak tahan lagi, makanan itu akan dibuang. Kami hairan kerana threshold pedasnya sangat rendah. Kadang-kadang meningkah.
"Pedas macam itu pun tak tahan!"
Betullah. Kita tidak dapat menikmati makanan tersebut. Dan akhirnya lapar kembali.
Betapa kita tidak faham perasaan mereka, yang terpaksa berlapar kerana kerakusan kita menyedapkan makanan mengikut cita rasa sendiri.
Air sudah diteguk. Saya sudah mengalah. Nasi yang banyak dan ayam yang masih berisi lagi (biasanya, saya makan sehingga ke tulang), dengan sedihnya mendarat di tong sampah. Saya minta maaf, simpati terhadap makanan. Bukan saya tidak sudi mengambil berkah, namun ia menjangkau kemampuan saya.
Dalam hal ini, kita dapat melihat sifat seseorang melalui respon mereka.
1) Pemakan yang merungut.
Tanpa mengetahui betapa berusahanya pihak tukang masak untuk mengurangkan kepedasan. Sehabis daya, sehabis idea, sehabis tenaga.
2) Tukang masak yang sedih.
Mengenangkan usaha mereka tidak dipeduli. Sedangkan, pihak pemakan hanya bergurau dan tidak berniat langsung untuk menyalahkan atau menyakiti tukang masak, kerana mereka faham perasaan chef. Respon-respon itu hanya reflex terhadap kepedasan.
Tanpa sedar, kita banyak bersangka buruk dengan orang. Semua perkara, sangka buruk mesti terlintas dahulu, mendahului sangka baik. Oh, saya sungguh kasihan dengan Encik Sangka Baik. Kerana kepentingan diri, dia selalu kalah. Selalu kalah 1 minit.
Bersangka baik dan bertimbang rasa. Semua pihak 50:50. Tiada 100:0, tiada 0:100. Selepas perkara ini, pihak chef semakin berhati-hati dalam memasak. Pihak pemakan, semakin berhati-hati dalam berkata. Jika masih lapar, beli sahaja makanan lain, bukannya susah pun :)
Cerita ini benar. Dan ia salah satu simbolik kepada sifat mahmudah, husn az zonn atau bersangka baik. Yang ingin ditekankan.
Suami sudah pulang, beliau memesan ayam goreng untuk saya. Dan semalam beliau memasakkan mee hong kong atas permintaan saya. Dan permintaan pai daging oleh beliau, masih saya tidak tunaikan. Hehe. Saya bercadang untuk membakarnya selepas ini, InsyaAllah.
Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment